Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turun meraih undi untuk calon PH DUN Seberang Jaya pada PRN Pulau Pinang.

SEBERANG PRAI – Calon Pakatan Harapan (PH) Johari Kassim berkeyakinan tinggi untuk menang bergaya dan menawan kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya pada Pilihan Raya Negeri esok.

Katanya, kehadiran isteri Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang turun berkempen dan merayu undi demi kemenangan PH, menambah semangat beliau.

Selain itu, Johari juga melihat ada trend kenaikan terhadap sokongan kepada beliau selepas dua minggu berkempendi kawasan tersebut.

“Saya terharu kerana Kak Wan yang sudi hadir dan berkempen untuk meraih sokongan pengundi di kawasan Seberang Jaya,” katanya di Program Bicara Santai Usahawanita dan Wanita bersama Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Barbarian Station, Bandar Perda di sini.

Tambah beliau, sekiranya calon perpaduan PH-Barisan Nasional (BN) menang semua kerusi DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh, ia akan meningkatkan peluang gabungan itu untuk merampas semula kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

Ketika ini, kerusi Parlimen Permatang Pauh dimiliki Perikatan Nasional selepas calonnya, Fawwaz Mohd Jan menewaskan Nurul Izzah Anwar dalam PRU15 yang lalu.

“Kalau kita dapat menang kesemua tiga DUN iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti di Permatang Pauh, Insya-Allah kita akan tawan semula Parlimen ini pada PRU16 nanti sebagai hadiah untuk PM (Anwar Ibrahim) kita.

“Tetapi setakat ini, kita masih mendahului dengan kedudukan baik dan pecutan terakhir ini untuk timbulkan mood positif dan semangat untuk pengundi keluar beramai-ramai memangkah esok,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette