KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetap komited dalam memastikan persekitaran kerja yang inklusif serta mengambil kira dan menghormati suara anggota pekerjanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya juga kekal komited ntuk memupuk dialog dan kerjasama yang membawa ke arah penyelesaian yang adil, saksama, dan munasabah.
“Walaupun perbezaan pendapat dari semasa ke semasa mungkin timbul, tetapi kami percaya bahawa ini boleh diatasi dengan sikap yang terbuka dan saling memahami,” katanya Dalam maklum balas berkaitan pemakaian lencana oleh barisan kepimpinan Majlis Presiden Kesatuan KWSP bermula semalam.
Artikel berkaitan: Kakitangan mula pakai lencana ‘Pengurusan KWSP Zalim’
Menurut beliau, pihak pengurusan KWSP telah mengadakan beberapa sesi perbincangan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli jawatankuasa kesatuan, di mana mereka telah membentangkan cadangan balas mereka.
Katanya, ia juga termasuk sesi khusus dengan kesatuan di Sabah dan Sarawak bagi tujuan yang sama.
Malangnya, beliau berkata, pemimpin dan ahli jawatankuasa kesatuan enggan menghadiri sesi baru-baru ini yang bertujuan memuktamadkan cadangan mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan.
Amir Hamzah berkata, di sebalik keadaan itu pihak pengurusan tetap terbuka untuk meneruskan perbincangan dengan barisan kepimpinan Majlis Presiden Kesatuan KWSP bagi mencari penyelesaian yang terbaik.
“Pengurusan KWSP komited untuk mencapai penyelesaian bersama-sama kepimpinan Majlis Presiden Kesatuan KWSP bagi mencapai keputusan yang terbaik melalui proses yang telah ditetapkan.
“Ia selaras dengan matlamat KWSP untuk membolehkan ahlinya mencapai persaraan yang selesa, komitmen kami untuk membantu dan memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli-ahli KWSP kekal sebagai keutamaan kami,” katanya.
Bermula semalam, ahli Kesatuan Kakitangan Lembaga Kumpulan Simpanan Pekerja (KKLKWSP) seluruh negara memakai butang lencana ‘Pengurusan KWSP Zalim’ di semua lokasi KWSP di seluruh negara.
Tindakan drastik tersebut diambil setelah kesatuan itu tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan organisasi dan melancarkan bantahan aman sehingga 16 Ogos ini.
Menurut Presidennya, Ahmad Hamzah, pihak pengurusan tidak memberi perhatian selain enggan melayani dan berbincang tentang beberapa tuntutan ahli kesatuan.
“Antara cadangan kesatuan adalah berkaitan dengan keseimbangan gaji (balancing), pelarasan gaji, penyeragaman terma dan syarat perkhidmatan, faedah persaraan, elaun wilayah, cross selling, bonus, bantahan penubuhan jawatankuasa tatatertib pengurusan, pengisian jawatan Pengarah Wilayah Sabah dan penambahan geran tahunan kesatuan,” katanya dalam kenyataan semalam. – MalaysiaGazette
Amir Hamzah menipu. Pengurusan yang selalu mengelak perbincangan. Kesautuan mahu isu diselesaikan secepat mungkin.