KUALA LUMPUR- Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan menerima notis saman daripada taikun Tan Sri Halim Saad berhubung pengambilan alih Kumpulan Renong-UEM oleh kerajaan.
“Cuma saman ini agak pelik sebab dulu dia juga ada cuba saman Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Khazanah tapi gagal kerana Mahkamah buang kes dia pada tahun 2013.
“Saya juga hairan dengan dakwaan Halim Saad ini? Kenapa selama ini dia tidak ambil tindakan terhadap saya dan tiba-tiba dekat pilihan raya dia saman.
“Akan berulang lagikah sejarah baling batu sembunyi tangan?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rabu lalu mendia melaporkan, Halim memfailkan saman terhadap Kerajaan, Mahathir dan bekas Menteri Kewangan kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Menerusi notis setebal 34 halaman itu, Halim mendakwa Mahathir dan Nor Mohamed memaksa beliau melepaskan pegangan dan hak di dalam Kumpulan Renong-UEM tanpa diberi pampasan sewajarnya, 22 tahun lalu.
Menurut notis itu, ia melibatkan 372 juta saham mewakili 16 peratus daripada keseluruhan modal saham Renong Bhd. dan kesemuanya diambil alih sayap pelaburan Kerajaan, Khazanah Nasional Bhd. menerusi anak syarikatnya pada 2001.
Tambah Halim, saham-saham itu dimiliki beliau secara peribadi dan bukannya UMNO.
Jelas beliau, perkara itu telah pun disahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Parlimen pada 24 November 1997.- MalaysiaGazette