Shabudin Md Nor

SIK – Shabudin Md Nor iaitu abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu, kesemua 13 adik-beradiknya mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya yang menjadi pusat pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri.

Anak kedua itu berkata, ibu bapanya turut mengundi di tempat yang sama bagi DUN yang ditandingi Muhammad Sanusi.

Menurut Shabudin, 57, dia sanggup menolak tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar demi memastikan dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.

“Saya tiba awal tadi dan sebelum pukul 9.00 sudah selesai semuanya.

“Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu tapi demi menunaikan tanggungjawab, saya tolak tawaran kerja itu.

“Insya-Allah, selepas ini akan ada lagi tawaran kerja di luar negara,” katanya ketika ditemui media selepas mengundi hari ini.

Pada 10 Julai lalu tular sebuah banglo di Kampung Batu 8, di sini yang didakwa milik Muhammad Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongam unsur nadir bumi (REE).

Muhammad Sanusi kemudiannya menafikan gambar banglo yang ditularkan menerusi media sosial adalah miliknya.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kediaman terbabit adalah milik abangnya yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut.

Mengulas lanjut, Shabudin berkata, beliau disarankan oleh kawan-kawan untuk menfailkan saman fitnah namun wang bukan segala-galanya.

Bagaimanapun, beliau sempat bergurau untuk menjual banglo itu ‘bernilai RM7 juta’ bagi yang berminat.

“Saya duduk dengan ibu mentua dan banglo itu di bina atas tanahnya. Saya pun sudah kerja lebih 30 tahun dan mampu bina banglo bernilai RM1 juta,” katanya.

“Kerja saya pun sudah dalam keadaan tertekan, jadi saya sudah biasa dalam keadaan ini. Saya tak kisah dengan apa yang berlaku (banglo tular),” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Sanusi, Md Nor Taib, 82, turut selesai mengundi pada jam 9.15 pagi.

Beliau yang berkerusi roda dibawa oleh adik kepada Shabudin iaitu Sobri, 54.

“Alhamdulillah, pakcik sudah selesai mengundi, sejak negara ada kan pilihan raya, pakcik tak pernah ‘ponteng’ mengundi,” katanya.

Pengundian bagi PRN Ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya, daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandangnya, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

DUN Jeneri mempunyai 35,079 pengundi berdaftar dengan lebih 90 peratus adalah kaum Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast