Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengingatkan orang ramai tidak memuatnaik atau berkongsi kandungan berbaur kebencian dan penghinaan membabitkan Institusi Diraja di media sosial serta aplikasi pemesejan.

Menurut kenyataan Komunikasi Korporat MCMC, peringatan itu dikeluarkan susulan perkongsian oleh individu tidak bertanggungjawab menyebar kandungan berbentuk penghinaan terhadap Institusi Diraja.

Kata kenyataan itu, MCMC akan membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan Institusi Diraja.

Sebarang perkongsian kandungan palsu dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan bersama polis akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan sekali-kali berbuat demikian dan semua pihak boleh melaporkannya kepada MCMC di pautan https://aduan.mcmc.gov.my dan polis,” kata kenyataan itu, hari ini. – MalaysiaGazette