Mohd Imran Tamrin

SUNGAI BESAR – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Panjang baharu, Mohd Razali Saari diharap membawa pembangunan ke kawasan itu selepas dipilih sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

Penyandang ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, banyak pembangunan Sungai Panjang terbantut kerana beliau sebelum ini wakil rakyat pembangkang di Selangor.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah dan selamat berkhidmat kepada Ustaz Mohd Razali selaku ADUN Sungai Panjang yang baharu.

“Saya doakan beliau dapat menggalas tugas dan tanggungjawab untuk memastikan pembangunan, kemakmuran dan kestabilan dalam Sungai Panjang ini dapat beliau laksanakan dengan baik.

“Kemungkinan cabaran yang sama seperti yang saya lalui tempoh hari sebagai Ahli Dewan Negeri bukan kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Dewan Seri Bernam di sini hari ini.

Terdahulu, Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya N03 Sungai Panjang, Zain Azmi Mohd Nor mengumumkan Mohd Razali daripada Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN15 malam tadi.

Mohd Razali, 41, memperoleh 16,977 undi menewaskan penyandang kerusi DUN Sungai Panjang, Mohd Imran yang hanya mendapat 13,401 undi dengan majoriti 3,576 undi.

Dalam pada itu, kekalahan Mohd Imran untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14 bukan titik nokhtah kepada perjuangannya menyantuni rakyat di kawasan luar bandar itu.

“Insya-Allah ini bukan pengakhirannya, kita perlu teruskan perjuangan dan tekad untuk memastikan pembangunan, kelestarian dan perkara yang diperlukan bukan sahaja untuk DUN Sungai Panjang bahkan Parlimen Sungai Besar dan daerah Sabak Bernam.

“Selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar dan juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, saya akan menumpukan kepada gerak kerja mendekati golongan anak muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette