aminuddin
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap pada sidang media khas selepas pasca Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Seremban. Foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2023.

SEREMBAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Faizal Azumu dikatakan cuba provokasi apabila mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dicalonkan sebagai Menteri Besar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pandangan itu dilontarkan supaya ahli-ahli akar umbi Pekatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini berpecah belah dan saling tidak menghormati.

Beliau menganggap provokasi Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menghairankan dan ‘sesuai’ dengan peranannya sebagai pembangkang.

“Perpaduan yang kita buat hari ini cuba dipermainkan bukan sahaja semasa pilihan raya selepas pilihan raya pun.

“Tak ada kerja lain nak provokasi orang, itulah Timbalan Presiden Bersatu,” katanya dalam sidang media di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal berkata, PH Negeri Sembilan harus berlapang dada dengan memberikan kerusi Menteri Besar yang disandang PH sebelum ini kepada pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut Ahmad Faizal, ia selepas UMNO mendapat kerusi terbanyak di negeri tersebut dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Berhubung peratusan keluar mengundi di Negeri Sembilan yang agak rendah iaitu 68.35 peratus semalam, Aminuddin memberitahu, perkara itu amat memeranjatkan.

Beliau melihat situasi di pusat-pusat pengundian semalam agak tenang dan tidak berlaku banyak pergerakan terutamanya di kawasan perumahan.

“Kita tak tahu apa punca mereka tak keluar mengundi. Mungkin mereka telah mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pengajaran daripada ini, kita mungkin kena pastikan bahawa PRU dan PRN diadakan serentak untuk memudahkan rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette