Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuang kertas undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, Sik. Foto MOHD ADZLAN, 12 OGOS 2023.

ALOR SETAR – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan beliau tidak berniat untuk menayang kertas undi miliknya ketika mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah itu berkata, insiden berkenaan berlaku di luar kawalannya kerana melayan kehendak petugas media yang memintanya berpusing ke kanan dan kiri.

“Tak terniat saya untuk pamer tetapi bila kelam-kabut melayan permintaan rakan-rakan wartawan, bila saya pusing sana, pusing sini kertas itu terbuka, dia lipat dua, bila lipat nak masuk dalam tong, depa kata pusing sini dulu, saya pusing.

“Saya layan kehendak wartawan, tapi mereka perkena saya ‘tang’ (pada) gambar itu, kalau saya nak pamer saya kena angkat macam tu (lebih tinggi),” katanya ketika ditemui selepas diumumkan berjaya mempertahankan DUN Jeneri di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik, malam ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi hari ini didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.

Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial yang berkongsi gambar Sanusi mempamerkan pilihannya pada kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Akta terbabit selanjutnya menyebut, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, gambar itu seolah-olah sengaja disiarkan oleh petugas media terbabit kerana terdapat lebih banyak gambar lain yang boleh dipilih untuk disiarkan.

“Saya rasa satu etika yang tak bagus untuk wartawan kan, banyak lagi gambar yang elok pasaipa (kenapa) pilih gambar itu.

“Saya akan cari dia sampai lubang cacing untuk bagi nasihat kepadanya, jadilah mata lebah jangan jadi mata lalat, orang nak kenakan saya banyak, menteri pun ada turun sini nak kenakan saya, (tapi) tak kena pun, jadi jangan buat kerja macam tu, banyak lagi gambar lain yang lebih proper (baik),” katanya.

Muhammad Sanusi berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan majoriti selesa 16,050 pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau memperoleh 21,823 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang memperoleh 5,773 undi. – MalaysiaGazette