Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Semua ahli-ahli UMNO dinasihatkan supaya bersabar dan bertenang susulan prestasi buruk yang dialami parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, dalam situasi ini semua ahli parti perlu bertindak rasional bagi memastikan mereka tidak termasuk dalam perangkap Perikatan Nasional (PN).

“Apa-apa pun saya nasihatkan kepada semua ahli UMNO untuk terus bersabar dan kekal tenang.

“Jangan sampai kita secara tidak sedar telah masuk perangkap PN untuk menjadi buah catur kepada mereka,” katanya yang juga bekas Ketua Puteri UMNO menerusi hantaran di Facebook.

Justeru, Zahida berkata, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira oleh UMNO dan usaha memperbaiki dan memulihkan semula sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) perlu dilaksanakan.

Ujarnya, secara keseluruhan BN mengalami kemerosotan sokongan dari penyokong dan juga ahli UMNO sendiri.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan prestasi BN di Negeri Sembilan sebagai membanggakan selepas mencatat pencapaian baik sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon BN yang menang terutamanya kepada calon-calon BN di Negeri Sembilan.

“Bagi saya pencapaian yang boleh dibanggakan dan boleh dijadikan rujukan kerana BN Negeri Sembilan memberi prestasi baik sejak PRU15 yang lepas,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua Jentera BN terutama Jentera Wanita BN Pandan yang memberi komitmen penuh.

“InsyaAllah. Saya akan terus memberi cadangan dan pandangan supaya BN kembali mendapat mandat rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.