Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersalaman dengan penyokong selepas Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2023.

KUALA PILAH – Teka-teki berhubung pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan akhirnya terjawab setelah Datuk Seri Aminuddin Harun selesai mengangkat sumpah jawatan tersebut di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sebelum ini tercetus spekulasi tentang kemungkinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dicalonkan untuk jawatan tertinggi pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu lalu, PH dan BN memenangi 31 daripada 36 kerusi yang ditandingi, sekali gus dapat membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Aminuddin, 56, kembali menyandang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dan beliau memenangi kerusi DUN Sikamat untuk penggal keempat.

Terdahulu dalam ucapannya pada istiadat tersebut, beliau berkata, mandat yang diberikan oleh rakyat akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Aminuddin berkata, ia adalah demi memastikan prestasi Negeri Sembilan digarap bersama lima tekad yang telah digariskan selari
dengan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

“Tiada kawasan yang akan dipinggirkan, inklusiviti akan menjadi paksi kepimpinan, rakyat dan pemimpin akan bergerak sederap
dalam memacu pembangunan negeri.

“Insya-Allah, kesemua inisiatif dalam Aspirasi Perpaduan akan diterjemahkan dalam tempoh kepimpinan patik,” katanya. – MalaysiaGazette