Gambar hiasan

MELAKA – Seramai 11 warga Indonesia dipercayai mangsa tongkang karam ditemui terapung di perairan Indonesia sebelum berjaya diselamatkan sebuah feri penumpang, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu disedari kapten feri Ekspress Indomal yang ketika itu dalam perjalanan dari Dumai, Indonesia.

Menurutnya, feri berkenaan sedang menuju ke jeti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di Kota Laksamana.

“Semasa berada di sempadan perairan Indonesia, kapten feri terbabit terlihat seramai 11 orang iaitu 10 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia terapung di permukaan laut.

“Kapten dan kakitangan feri kemudian menyelamatkan semua mangsa yang masih hidup menaiki feri dan menuju ke jeti ICQS Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, seorang mangsa perempuan berusia 29 tahun yang mengalami sesak nafas akibat lemas kemudian dirujuk ke Hospital Melaka, namun keadaannya dilaporkan stabil.

“Seramai 10 lagi mangsa juga dalam keadaan stabil namun dirujuk ke hospital sama untuk pemeriksaan.

“Kesemua mangsa akan diserahkan kepada Pihak Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast