Mohd Fared merasmikan Majlis Dakwah, Bacaan Yasin Munajat, Berzanji dan Berselawat di Kulai hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 998 orang guru agama di Johor akan mendapat manfaat mulai tahun ini apabila kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah meluluskan kenaikan pangkat berasaskan kecemerlangan yang telah ditambah baik dan dipercepatkan tempohnya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared  Khalid berkata, ia satu keperluan bagi memastikan kebajikan guru-guru sekolah agama terjaga dan bagi mengelak perpindahan mereka ke Kementerian Pelajaran.

‘’Penambahbaikan dalam sistem kenaikan pangkat ini memberi suntikan semangat kepada guru-guru ini dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada lebih 186,137 orang murid di seluruh negeri Johor.

“Selain itu juga, sebanyak 631 jawatan baharu telah dibuka kepada guru agama pada tahun ini yang melibatkan perjawatan tetap sebanyak 300 orang,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap di Majlis Dakwah, Baca Yasin,Zikir Munajat, Berzanji dan Berselawat di Kulai hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Fared berkata, ia akan melalui proses pemilihan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor yang telah bermula bulan lalu.

Langkah itu  memberikan kelegaan kepada kebanyakan guru sekolah agama yang telah lama berkhidmat dan masih berstatus kontrak. – MalaysiaGazette