Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu baharu di hari ini.

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu baharu di sini hari ini.

Majlis angkat sumpah dilakukan di hadapan Sultan Mizan Zainal Abidin pada 3.19 petang tadi di Balairong Seri Istana Syarqiyyah.

Ahmad Samsuri, 53, melafazkan sumpah memegang jawatan tersebut di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 3.18 petang.

Turut berangkat pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Samsuri akan menerajui pentadbiran negeri setelah gabungan Pas dan Bersatu memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu pada pilihan raya negeri Sabtu lepas.

Beliau memperoleh 20,927 undi dengan majoriti 17,286 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan, Suhaimi Sulaiman.

Seramai 10 ADUN yang akan menganggotai Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu turut mengangkat sumpah pada istiadat yang sama.

Enam Exco Terengganu yang dikekalkan Datuk Satiful Bahri Mamat (Paka), Dr. Azman Ibrahim (Jabi) dan Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam).

Ariffin Deraman (Alor Limbat), Hanafiah Man (Cukai) dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (Kota Putera).

Barisan exco juga menampilkan empat muka baharu yang dilantik dianggotai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris yang juga ADUN Kijal serta Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Burok), Hishamuddin Abd. Karim (Tepoh) dan Maliaman Kassim (Ajil) dari Pas.

Empat Exco Terengganu yang digugurkan pula adalah Datuk Mohd. Nor Hamzah yang merupakan ADUN Bukit Payung dan Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang).

Manakala dua lagi iaitu Datuk Dr. Alias Razak dan Tengku Datuk Tengku Hassan Tengku Omar pula tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk memberi laluan kepada muka baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast