KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian membuat permohonan maaf secara terbuka selepas mendakwa Kerajaan Pusat menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tuduhan ADUN daripada Warisan itu jelas satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan mengancam kedaulatan negara.
“Kenyataan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin hari ini secara jelas menyebut perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia, hanya membabitkan laut Wilayah.
“Ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Assaffal pada persidangan DUN Sabah 10 Ogos lalu, mendakwa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah dengan menyerahkan sempadan Ambalat kepada Indonesia.
Dakwanya, ia antara kesilapan dilakukan kerajaan negeri apabila tidak memperhalusi isu terbabit sehingga merugikan Sabah.
Tambah Zulkarnain, cara berpolitik pemimpin-pemimpin Warisan amat berbahaya.
“Sasaran fitnah mereka sebelum ini terarah kepada Datuk Seri Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah tetapi Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi sasaran baharu mereka.
“Justeru G57 mendesak agar ADUN Tungku itu segera membuat permohonan maaf kepada kerajaan termasuk seluruh rakyat Sabah.
“G57 turut mengesa ADUN Tungku dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan selepas sengaja berbohong dan mengelirukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















