Datuk Khaw Kok Chin .

GEORGE TOWN – Polis menerima 20 laporan berhubung isu salah guna kad pengenalan di Pulau Pinang pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ekoran itu, pihaknya membuka 20 kertas siasatan berhubung insiden tersebut untuk disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Keadaan itu menyebabkan 20 individu tidak dibenarkan mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada hari Sabtu apabila maklumat peribadi atau kad pengenalan mereka sudah digunakan oleh pihak lain.

“Sehubungan itu, polis membuka 20 kertas siasatan berhubung kejadian tersebut dan kami sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen iaitu dari 29 Julai hingga hari pengundian, Polis Pulau Pinang menerima 87 laporan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya di negeri itu.

Khaw juga berkata, daripada jumlah itu, polis membuka 42 kes serta dua kertas inkuari dan kesemuanya masih dalam siasatan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan membabitkan laporan polis atau kertas siasatan yang dijalankan oleh pihaknya.

“Daripada 42 kertas siasatan itu, 20 kes membabitkan isu kad pengenalan atau identiti mereka digunakan manakala kes lain melibatkan khianat iaitu merosakkan sepanduk, bendera atau bahan kempen.

“Kami juga buka kertas siasatan dua kes berkaitan 3R (bangsa, agama dan raja) dan kes membabitkan fitnah terhadap calon, curi bendera, ugutan dan cetak kertas undi,” katanya. – Bernama