Lim Teng Huat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf empat tahun lalu.

MELAKA – Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf empat tahun lalu.

Tertuduh, Lim Teng Huat, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin, tertuduh didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri  tidak diiktiraf daripada watikah kurniaan Darjah Kurnia Paduka Seri Diraja Perak (DSDP).

Kesalahan mengikut Seksyen 7(3) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 7 (4) Enakmen sama itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Melaka di sini pada 14 Oktober 2019.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000.

Nor Nadia turut memohon syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah kerana bimbang tertuduh akan melarikan diri ke Indonesia kerana mempunyai perniagaan di sana.

Peguam Khaw Thian Keat bagaimanapun merayu jaminan rendah dan menjelaskan anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana memerlukan rawatan susulan di hospital selepas menjalani pembedahan jantung tahun lalu.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Kes disebut semula 12 September ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast