Bekas Gabenor Bank Negara ,Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hadir ke mahkamah sebgai saksi perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 14 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mendedahkan pihaknya hanya menyedari wang pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak AS$700 juta telah dilencongkan ke Good Star Limited selepas enam tahun pemindahan berlaku.

Good Star ialah syarikat yang dimiliki oleh Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dalam buruan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Namun ketika sesi soal balas antara peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak yang  ‘mengasak’ Zeti mengapakah pihaknya mengambil masa begitu lama menyiasat penyelewengan 1MDB.

Namun Zeti menolak cadangan pembelaan bahawa bukan pelik atau mustahil untuk BNM mengetahui tentang pemindahan itu lewat enam tahun kemudiannya.

Katanya adalah perkara biasa usaha untuk mendedahkan penyelewengan oleh mana-mana pihak berkuasa kewangan kemungkinan akan mengambil masa berbulan atau bertahun.

“Apabila BNM siasat pada tahun 2015 melalui maklumat pihak kewangan luar negara kita dapati dana sebanyak AS$700 juta ke dalam syarikat yang dikenali sebagai Good Star.  Risikan oleh unit kewangan luar negara beri maklumat adanya penyelewengan dana 1MDB.

“Kita kemudian kenal pasti pemilik syarikat Good Star itu ialah milik Jho Low,” katanya pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Kata Zeti lagi, BNM telah melakukan siasatan sendiri apabila pihak Najib (Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu) tidak memberikan jawapan memuaskan berhubung pendedahan diterima pihaknya.

Namun Zeti bersetuju bahawa BNM tidak mempunyai sebarang bukti Najib yang telah memberi arahan pemindahan itu.

“Tidak ada sebarang arahan bertulis. Secara lisan juga, saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya pada ketika itu dan tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir,” jelasnya.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Najib ketika ini berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast