JOHOR BAHRU – Tujuh remaja sekolah yang terlibat dalam pergaduhan kerana merebut teman wanita dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kertas siasatan juga akan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut hari ini.
Semalam media melaporkan, kesemua tujuh remaja lelaki termasuk seorang warganegara asing dikenakan tahanan reman selama dua hari untuk membantu siasatan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Menurut Raub, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 14 hingga 17 tahun manakala punca pergaduhan dipercayai kerana perebutan seorang remaja perempuan.
“Polis menerima laporan mangsa yang berusia 15 tahun pada pukul 4.09 petang kelmarin mengatakan dia ditendang, dipijak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian badan, perut, tangan dan paha oleh tujuh remaja lain.
“Pengadu memaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 3 petang, 9 Ogos lalu. Akibat kejadian berkenaan, dia mengalami kecederaan lebam, bengkak dan sakit di beberapa bahagian tubuh badannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini sepasukan polis telah membuat enam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan berjaya menahan kesemua tujuh suspek.- MalaysiaGazette