Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hadi bertemu dengan beberapa waris mangsa nahas pesawat terhempas di jabatan forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

KLANG – Kira-kira 10 pegawai forensik terlibat melakukan bedah siasat terhadap semua mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuh Raya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam petang tadi.

Menurut Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Zulkarnain Mohd Rawi, seramai enam pegawai forensik akan dibawa dari hospital berhampiran manakala empat lagi di HTAR itu sendiri.

Bilangan itu melibatkan pakar forensik, pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.

Dalam pada itu, suasana pekarangan Bilik Mayat HTAR agak sesak dengan kehadiran lebih 50 agensi media tempatan dan antarabangsa selain waris-waris mangsa, kenalan dan kakitangan hospital.

Turut hadir untuk bertemu keluarga mangsa ialah Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Situasi malam ini juga kelihatan suram dengan rata-rata waris dilihat menangis sepanjang masa.

Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengesahkan 10 orang termasuk dua kru penerbangan dan enam penumpang terkorban dalam nahas pesawat itu.

Antara yang terkorban ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Dua daripada mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan menunggang sebuah motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.-MalaysiaGazette