OTTAWA – Pihak berkuasa Wilayah Barat Laut Kanada mengarahkan penduduk di Yellowknife supaya berpindah ekoran kebakaran hutan yang semakin menghampiri bandar raya itu, lapor Sputnik.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas darurat diisytiharkan di bandar itu, lapor penyiar Berita CTV pada Khamis.

“Saya mahu menjelaskan bahawa masih ada masa untuk penduduk meninggalkan bandar ini dengan selamat melalui jalan darat atau udara,” kata Menteri Alam Sekitar Wilayah Shane Thompson.

Jun lepas, Menteri Pertahanan Kanada Bill Blair mengakui bahawa kebakaran hutan musim ini adalah yang paling buruk dalam sejarah negara itu.

Pada awal Ogos, Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus (CAMS) Kesatuan Eropah berkata kebakaran hutan yang marak di Kanada menyebabkan pelepasan karbon dioksida pada paras tertinggi ke atmosfera, menyumbang lebih 25 peratus daripada jumlah pencemar bawaan udara ke planet tahun ini.- BERNAMA-SPUTNIK