Ahli keluarga yang tidak menahan sebak melihat situasi kawasan pesawat terhempas di sekitar bandar Elmina, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan salam takziah kepada keluarga mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam petang tadi.

“Mendoakan semoga kesemua mereka tabah menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan ringkas di media sosial hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian tragik nahas kapal terbang di Shah Alam petang ini.

“Saya menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan imej mangsa dan menimbulkan sebarang spekulasi tidak berasas bagi menghormati keluarga mangsa.

“Semoga ahli keluarga mangsa tabah dan sabar menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette