Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hadi bertemu dengan beberapa waris mangsa nahas pesawat terhempas di jabatan forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

KLANG – Ada mayat mangsa pesawat ringan yang terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina petang tadi masih belum boleh dikenal pasti.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengakui ada juga mayat yang tidak sempurna iaitu tinggal cebisan sahaja.

Beliau menjelaskan, ketika ini, proses untuk mengenal pasti mayat mangsa akan mengambil masa berikutan ada antaranya dalam keadaan tidak sempurna.

“Kita dapat tahu ada mayat boleh dicam dan ada yang perlukan masa untuk dikenal pasti kerana ada cebisan.

“Proses bedah siasat akan dibuat secepat mungkin dan tidak semua ahli keluarga mangsa kita akan bagi buat pengecaman,” katanya selepas menyantuni ahli keluarga mangsa nahas terbabit di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) malam ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bercakap kepada media selepas bertemu dengan beberapa waris mangsa nahas pesawat terhempas di jabatan forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

Kata Dr Zaliha, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah menghantar pasukan daripada Hospital Sungai Buloh dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling ke lokasi apabila menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 3 petang tadi.

“Kita telah letakkan pasukan forensik untuk bantu pasukan bomba dan polis di lokasi dan kita masih menunggu perkembangan terkini di sana. KKM akan sediakan pasukan sokongan untuk ahli dan waris keluarga termasuklah yang ada di hospital ketika ini.

“Kita ada pasukan daripada jabatan psikiatri untuk membantu ahli keluarga mangsa. Pada masa sama, kita akan tunggu di sini untuk proses bedah siasat. Proses pengecaman mayat belum dapat dipastikan lagi kerana tidak tahu keadaan mayat yang diterima,” ujarnya. – MalaysiaGazette