Suasana pilu ahli keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Perumahan Elmina 8 menunggu proses bedah siasat dan pengecaman selesai, sebelum meneruskan urusan pengebumian jenazah ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2023.
KLANG – Allahyarham Shahrul Kamal Roslan adalah seorang juruterbang yang cekap, kata abang ipar mangsa, Syed Tahir Syed Mohamad.
Beliau memberitahu, ahli keluarga terkejut dimaklumkan kemalangan yang melibatkan adik iparnya itu.
Katanya, keluarga dimaklumkan pihak berkuasa urusan bedah siasat dan mandi jenazah yang dijangka jam 2 petang ini.
“Jenazah akan dibawa ke rumah arwah di Melawati hari ini juga dan semua ahli keluarga sudah bersedia untuk urusan pengebumian.
“Arwah seorang yang sangat periang, penyayang dan disenangi kawan serta ahli keluarga,” katanya yang ditemui media di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Allahyarham Shahrul Kamal meninggalkan seorang balu dan seorang anak yang masih kecil.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang semalam, sebuah pesawat ringan yang membawa enam penumpang dan dua krew dilaporkan terhempas di kawasan perumahan Elmina, dekat Shah Alam.
Turut terkorban, anggota Exco kerajaan negeri Pahang yang juga ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun. – MalaysiaGazette