Nor Nekman selepas Taklimat Petugas Media Bagi PRK P161 Pulai dan N13 Simpang Jeram, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak lapan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor telah dibeli setakat hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon berkata, dua borang pencalonan adalah untuk Parlimen Pulai dan enam bagi DUN Simpang Jeram.

Beliau berkata, borang pencalonan boleh dibeli sehingga hari penamaan calon pada 26 Ogos ini iaitu sebelum jam 10 pagi.

“Setakat ini berdasarkan borang pencalonan yang telah dibeli, hanya seorang calon sahaja yang telah membayar deposit iaitu sebanyak RM5,000 dari DUN Simpang Jeram,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Petugas Media Bagi PRK P161 Pulai dan N13 Simpang Jeram, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Johor, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin dan Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia, Mohamad Fauzi Ishak.

Nor Nekman berkata, sebanyak 49 pusat mengundi dengan dua pusat mengundi awal di PRK Parlimen Pulai, manakala 14 pusat mengundi di DUN Simpang Jeram dan tiada pusat mengundi awal.

Beliau berkata, setakat 23 Julai lepas, seramai 166,653 individu layak mengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pula seramai 40,379 pengundi.

Persiapan SPR bagi kedua-dua PRK itu, katanya, telah mencapai 80 peratus, sekali gus menjelaskan seramai 2,674 petugas akan ditugaskan bagi Parlimen Pulai dan 674 petugas DUN Simpang Jeram.

Beliau berkata, mesyuarat penyelarasan SPR bersama agensi-agensi berkaitan bagi persediaan bencana di DUN Simpang Jeram dilakukan pada 14 Ogos lalu, manakala Parlimen Pulai pada dua hari lepas.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos depan, 5 September pengundian awal dan 9 September hari mengundi untuk kedua-dua PRK itu.

PRK itu dilaksanakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas. – MalaysiaGazette