KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan tanggungan mereka boleh mendapatkan rawatan secara percuma di klinik swasta yang berdaftar dengan Skim Perubatan Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, skim tersebut yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini bermatlamat untuk menampung keperluan kesihatan warga B40.
“Saya amat berharap skim ini dapat memanfaatkan golongan sasar sebagai usaha dan upaya kerajaan mewujudkan akses yang adil kepada khidmat kesihatan yang berkualiti.
“Saya mohon teman-teman untuk sebarkan maklumat ini kepada keluarga dan rakan-rakan yang memerlukan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Merujuk kepada infografik yang dikongsi Perdana Menteri, Skim Perubatan Madani yang meliputi 21 daerah di seluruh negara telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah sejak ia dilaksanakan.
Fasa 1 bermula pada 15 Jun lalu di Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Hulu Langat, Gombak, Johor Bahru, Kinta, Timur Laut, Kuching dan Kota Kinabalu.
Fasa 2 pula bermula pada minggu kedua bulan ini di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kota Setar dan Kuala Muda sebelum diteruskan pada minggu keempat di Kota Bharu, Pasir Mas, Kuantan, Melaka Tengah, Seremban, Seberang Perai Tengah dan Perlis.
Pelaksanaan Fasa 3 yang disasarkan bulan depan akan merangkumi kawasan-kawasan yang mengalami kesesakan di hospital awam.
Had rawatan yang ditetapkan adalah RM250 bagi isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas tanpa pasangan dan RM75 untuk golongan bujang. – MalaysiaGazette