Fadhlina merasmikan Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Madani Murid Berkeperluan Pendidikan Khas negeri Johor 2023 di Aeon Dato' Onn hari ini.

JOHOR BAHRU – Jenis sukan yang sesuai dengan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) untuk silibus Sekolah Sukan Pendidikan Khas yang dijangka beroperasi tahun 2025 sedang diperhalusi Kementerian Pendidikan (KPM).

Ia bagi membangunkan potensi sukan golongan pelajar terbabit, kata menterinya, Fadhlina Sidek.

Ia juga juga penting bagi memastikan golongan itu juga tidak dipinggirkan dalam semua aspek dan bidang.

“Kita sudah ada sekolah-sekolah khas murid berkeperluan khas ini termasuk sebagai contoh di Bumbong Lima dekat Pulau Pinang yang memberikan tumpuan terhadap kemahiran anak-anak ini.

“Insya-Allah pada tahun 2025 kita akan mengoperasikan sebuah sekolah sukan untuk mereka yang akan membangunkan potensi sukan supaya mereka juga mendapat tumpuan dalam soal pembangunan sukan.

“Kategori sukan kita sedang perincikan sebab anak-anak (berkeperluan khas) ini mereka ada sukan yang tertentu jadi Insya-Allah kita akan maklumkan juga dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Madani Murid Berkeperluan Pendidikan Khas negeri Johor 2023 di sini hari ini.

Menurut Fadhlina, semua inisiatif yang dilaksanakan KPM untuk murid berkeperluan khas bagi meningkatkan kemahiran agar golongan itu terus bersama-sama dalam mendapat manfaat pendidikan.

“KPM bersama pelbagai agensi sedang meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk murid berkeperluan khas ini dan berharap lebih ramai pemain industri bersama-sama untuk memastikan bagaimana potensi murid dapat digarap dalam konteks TVET,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast