Tiong King Sing

SIBU – Penggabungan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu (PSB) dijangka dapat dimuktamadkan pada Disember depan.

Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing berkata kedua-dua parti sedang menyelesaikan beberapa perkara dan isu berkenaan penggabungan itu, yang diharap mampu menambah baik perkhidmatan mereka untuk seluruh Sarawak.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) kerana memberi peluang dan sokongan kepada kedua-dua parti itu untuk duduk bersama mencari jalan dan peluang untuk bekerjasama.

“Saya menyasarkan bulan Disember nanti, kedua-dua parti dapat bergabung,” kata Ahli Parlimen Bintulu itu pada majlis Makan Malam Perpaduan di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh serta pimpinan kedua-dua parti berkenaan.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya seterusnya berharap penggabungan itu dapat diterima dengan baik oleh semua pihak dan tidak dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

Pada 13 Julai lepas, PSB yang memenangi tiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri pada 2021, mengumumkan sokongan mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abang Johari.

PSB juga telah menandatangani satu memorandum persefahaman dengan PDP yang merupakan sebuah parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sementara itu, Wong yang ditemui pemberita pada acara itu berkata satu jawatankuasa peringkat tertinggi kedua-dua parti akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat untuk memperhalusi perkara berkaitan penggabungan itu termasuk aspek perlembagaan parti.

Katanya gabungan parti itu juga akan meletakkan Tiong sebagai Presiden manakala jawatan beliau akan ditetapkan kemudian. – BERNAMA