Suhaizan Kaiat

JOHOR BAHRU – Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat akan memanfaatkan pengalamannya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang dijadualkan berlangsung 9 September depan setelah dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, pengalaman itu sudah pasti akan digunakan sebaiknya bagi mendekati para pengundi di kawasan berkenaan.

“Apa yang lebih penting kita nak kekalkan majoriti yang meyakinkan untuk memberi satu sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajaui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas 2018, saya dipertanggungjawabkan jadi speaker dan di situ saya akui ada ruang yang baik untuk saya kerana dapat lebih mengenali kehendak rakyat dalam setiap kawasan ketika itu dan sudah tentu ia dapat memberi perkhidmatan dengan lebih baik secara dasarnya. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Outreach Sara Hidup Di Bawah Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Kata Suhaizan, antara isu serta fokus utama beliau di Pulai nanti ialah kebajikan rakyat terutama golongan B40, isu kenaikan harga barang dan pendidikan generasi muda.

Beliau juga bersedia memikul tanggungjawab meneruskan khidmat cemerlang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada penduduk Parlimen Pulai.

Suhaizan yang juga Ketua Amanah Pulai semalam telah diumum sebagai calon PH bagi kerusi Parlimen Pulai oleh presiden parti,  Datuk Seri Mohamad Sabu.

Suhaizan mengakui terharu atas kepercayaan parti menamakannya sebagai calon bertanding di kerusi itu.

Sebelum ini, beliau pernah bertanding kerusi Parlimen Parit Sulong pada 2004, Parlimen Simpang Renggam (2013), Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup pada 2018 dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang (2022).

“Saya faham ini adalah tugas yang berat kerana membawa satu amanah menyambung legasi Datuk Seri Salahuddin. Kalau dari segi bilangan sebenarnya ini kali ke tujuh saya bertanding Parlimen yang kedua.

Pada PRU-15, Salahuddin menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional yang memperoleh 31,726 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong mendapat 20,677 undi.

Salahuddin turut mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor tahun lalu apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh (6,350 undi), calon BN, Lokman Md Don (6,062) dan calon Parti Pejuang Tanahair, Mahaizal Mahmor dengan 208 undi.- MalaysiaGazette