KLANG – Kelewatan pelantikan Menteri Besar dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor lebih seminggu selepas Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) bukan kerana spekulasi tertentu.
Menteri Besar Selangor yang baharu dilantik, Datuk Seri Amirudin Shari sebaliknya berkata, ia bagi memberi ruang secukupnya kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas menjalani pembedahan di London.
“Dua hari selepas PRN15, Sultan Selangor baru pulang dan berangkat tiba dari London. Selepas itu baru surat daripada Perdana Menteri disampaikan kepada Sultan Selangor dengan meletakkan tiga nama dan nama saya ada di sana.
“Khamis, baru tuanku mengesahkan saya diberikan tugas untuk Menteri Besar dan diikuti perbincangan senarai Exco Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita di Istana Alam Shah di sini hari ini.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu sah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar yang baharu hari ini.
Amirudin, 43, dilantik semula jawatan sama dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah pukul 11 pagi tadi.
Terdahulu, Amirudin bersama isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad menaiki kenderaan rasminya Toyota Camry berwarna hitam tiba di pekarangan Istana Alam Shah kira-kira pukul 10.45 pagi.
Sementara itu, Amirudin dijangka mempengerusikan mesyuarat Exco Selangor yang pertama pada Rabu ini.
Mesyuarat itu antara lain bagi menentukan portfolio yang akan digalas 11 Exco Selangor baharu termasuk Amirudin sendiri yang mengangkat sumpah jawatan itu hari ini.
“Sebelah tengah hari nanti saya akan memaklumkan berkenaan dengan portfolio Exco-Exco selepas mesyuarat Exco yang pertama,” kata Amirudin. – MalaysiaGazette