KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sedang menghadapi penolakan besar rakyat yang sekaligus memerlukan gabungan parti itu bergerak lebih agresif membina semula keyakinan rakyat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui perkara itu berkata, tidak mustahil BN kembali diyakini rakyat, memandangkan situasi sebegitu dianggap lumrah biasa dalam politik.
“Dalam cabaran yang kita hadapi sekarang, ketika UMNO dilanda penolakan orang Melayu. UMNO, MIC, MCA dan PBRS harus bangun semula dapatkan dokongan rakyat.
“(Penolakan) ini memberi landskap yang tidak sihat (kepada negara). Sokongan (kepada BN) yang merudum pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh dibina semula,” katanya ketika berucap melancarkan pembinaan bangunan baru MIC, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan.
Ahmad Zahid berkata, gabungan BN tidak boleh mempunyai agenda untuk meminggirkan di antara satu sama lain dalam usaha membina semula sokongan rakyat kepada parti itu
“Jangan ada agenda meminggirkan antara satu sama lain. Kita kena sokong antara UMNO, MIC, MCA serta PBRS dan juga rakan-rakan dalam Friends of BN.
“Sejarah sering ada putarannya. Kita sedang hadapi penolakan ini, yang agak ke bawah (kedudukan BN). Tapi tidak selalunya yang di bawah ini akan terus di bawah kalau kita ada usaha untuk naikkan,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dianggap jalan terbaik memulihkan semula imej gabungan itu, disamping memerlukan komitmen tinggi parti komponen di semua peringkat.
Justeru, beliau yakin BN akan dapat diterima naik semula selepas cabaran yang dihadapi dapat diatasi.
Katanya, apa yang terbaik adalah rangkaian kerjasama yang sedang dijalinkan bersama dalam PH.
“Kombinasi kita dengan PH walaupun belum menampakkan keyakinan yang baik, (namun) tempoh ini baru sembilan bulan bagi BN dan rakan-rakan dalam PH untuk bina semula sokongan.
“Komitmen bukan hanya (diperlukan dari) kepimpinan atasan, tapi di semua peringkat tidak kira nasional, negeri, Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) wajib kita susun semula dan kembalikan keyakinan ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette
MASIH ADA YANG MASIH BERSEKONGKOL DENGAN PEMIMPIN MUNAFIK PERASUAH SAKAU …NO ANWAR NO DAPIGS,,,,NO ZAHID NO UMNOGOK