Senarai barisan Exco Negeri Kedah

KUALA LUMPUR – Hanya tiga Exco Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco) dikekalkan daripada penggal lalu .

Barisan Exco itu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit, Alor Setar pagi ini.

Mereka adalah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali; ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad dan dan ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria.

Siti Ashah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan.

Halimaton Shaadiah yang mempertahan DUN Bukit Kayu Hitam terus diberi kepercayaan untuk memegang portfolio sama dengan penggal sebelum ini iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat namun terdapat tambahan portfolio Perpaduan kali ini.

Begitu juga dengan Mohamad Yusoff yang kekal diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air selain tambahan portfolio Alam Sekitar.

Exco lain adalah ADUN Sungai Limau, Mohd. Azam Abd. Samat; ADUN Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah; ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria; ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani; ADUN Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin; ADUN Alor Mengkudu, Muhamad Radhi Mat Din dan ADUN Kulim, Wong Chia Zhen.

Komposi mengikut parti menyaksikan Pas memiliki tujuh Exco termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diikuti tiga daripada Bersatu dan seorang wakil Gerakan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memegang lapan portfolio di bawahnya iaitu Perancang Negeri; Hasil Bumi; Kewangan; Syarikat Berkaitan Kerajaan; Majlis Tindakan Ekonomi Negeri; Pembangunan Kedah 2035; Kerjasama Luar serta Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains.

Sementara itu, Haim Hilman yang merupakan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi manakala Mohd. Azam pula menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan.

Dalam pada itu, Mansor yang merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Kedah diberi amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan.

Dzowahir pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Perladangan dan Pengangkutan; Mohd. Salleh (Pelancongan Kebudayaan dan Keusahawanan) manakala Chia Zhen (Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan).

Legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din yang menang di DUN Alor Mengkudu turut diberi peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan. – MalaysiaGazette