Hazmi atau Jeming (tiga dari kiri) menang saman fitnah ke atas pendakwah, Ahmad Dusuki bersama peguamnya, Faiz (tiga dari kanan)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak rayuan pendakwah, Ahmad Dusuki Abdul Rani terhadap Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan.

Saman fitnah itu dikemukakan Ahmad Dusuki berhubung satu video yang dimuatnaik Hazmi menuntut permohonan maaf daripadanya yang didakwa membuat kenyataan fitnah kononnya aset Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini.

Beliau juga diperintahkan mahkamah agar membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Hazmi yang lebih dikenali dengan panggilan Jeming.

Hakim, Datuk Roslan Abu Bakar mendapati, video Hazmi itu bukan fitnah kerana terbukti aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Sementara itu, mahkamah juga mendapati kenyataan Ahmad Dusuki itu boleh memberikan kesan negatif kepada umat Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Oleh itu, Roslan mendapati pembelaan ‘common law’ yang dibangkitkan Hazmi termasuk komen berpatutan dan perlindungan bersyarat telah dibuktikan.

Dengan kemenangan itu, maka keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 30 Ogos tahun lalu menolak tuntutan Ahmad Dusuki dengan kos sebanyak RM10,000 dikekalkan.

Ahmad Dusuki diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob dan Hazmi diwakili Faiz Fadzil. – MalaysiaGazette