Foto Instagram Shila Amzah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi,  Shila Amzah tampil ‘bersuara’ meluahkan rasa kurang selesa terhadap pernikahan kedua pempengaruh media sosial dikenali sebagai Abang Tesla atau Muhammad Khal Iltizam Yusry.

Pelantun lagu Patah Seribu itu berpendapat, seorang suami yang benar-benar menyayangi isteri sepenuh hati tidak akan tergamak memadukan insan dicintai walaupun pernikahan Muhamad Khal mendapat restu isteri pertama, Nurmajdina Jamari.

“Kalau awak betul sayang isteri pertama, tak adanya nak kahwin isteri kedua walaupun dapat izin dari yang pertama itu.

“Eh, baran (marah) tengok TikTok hari ini,” tulisnya menerusi ciapan panjang lebar selepas tersebar video dikongsi lelaki terbabit semalam.

Pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah itu turut menyelar hantaran yang tular didakwa sebagai penghargaan Abang Tesla terhadap isteri pertamanya.

“Fikir logik saja. Jangan nak buat appreciation post panjang berjela nak tunjuk bagaimana awak hargai isteri pertama bila awak buat keputusan untuk menduakan dia,” luah Shila menerusi Twitter.

Menerusi perkongsian videonya, lelaki terbabit  dilihat mendirikan solat Subuh bersama isteri pertamanya tiga jam sebelum menikahi isteri keduanya sekali gus meraih pelbagai reaksi.

Menyingkap emosi penyanyi berusia 33 tahun itu, Shila yang baru sahaja berdepan momen hampir serupa apabila berdepan episod keruntuhan keluarga apabila ibu-bapanya, Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman akhirnya bercerai akibat kehadiran orang ketiga.

Lebih menyakitkan, ibunya diceraikan beberapa hari selepas Shila menamatkan status ibu tunggal dengan pernikahan keduanya bersama pensohor media sosial, Ubai pada pada 5 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast