Amirudin Shari

KLANG – Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berjaya melepasi ujian pertama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Selangor meskipun hanya memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH perlu memastikan BN mempunyai peranan penting dalam kerajaan negeri sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor.

“BN ada (lantikan Exco), sebagai rakan kongsi, kita kena bergabung bersama-sama.

“Kita percaya gabungan Perpaduan ini berjaya melepasi ujian pertama dalam pilihan paya walaupun masih gagal untuk mendapat dua pertiga, tetapi kita masih mempunyai kelebihan 12 kerusi berbanding pihak lawan.

“Ini permulaan yang bagus dan kita boleh mengukuhkan pada masa depan,” katanya kepada pemberita di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu sah sebagai Menteri Besar baharu selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Amirudin, 43, dilantik semula jawatan sama dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, jam 11 pagi tadi.

Sebelum itu, Amirudin bersama isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad yang menaiki kenderaan rasminya Toyota Camry berwarna hitam tiba di pekarangan Istana Alam Shah kira-kira jam 10.45 pagi.

Amirudin berkata, beliau perlu memberi fokus lebih kepada tuntutan rakyat berbanding pembangkang yang kini menguasai hampir separuh Dewan Negeri Selangor.

“Setiap masa tugas Exco dan Menteri Besar memang berat, tak kisah kita mempunyai dua pertiga atau 50 ahli Dewan Negeri.

“Permintaan rakyat juga agak tinggi, saya rasa semua Exco kena menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Kita kena jawab cepat dan tuntas setiap persoalan yang dibangkitkan.

“Pembangkang kuat atau tidak, bukan isu utama atau satu-satunya perkara, kita tetap kerja kuat,” katanya. – MalaysiaGazette