ISTANBUL – Polis anti-narkotik Turki merampas hampir 450 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan menahan lima suspek, termasuk seorang warga asing, di sini.

Operasi itu adalah sebahagian daripada siasatan ke atas pengedaran dadah.

Polis mula mengesan suspek yang didakwa terlibat dalam pengedaran dadah dan menahan sebuah kereta dan dua trak di daerah Tuzla, yang mana 447.5 kg cecair narkotik ditemui disembunyikan dalam 20 tong, menurut polis dalam satu kenyataan.

Pasukan keselamatan Turki kerap melancarkan operasi terhadap pengedar dadah di seluruh negara.

Menurut Pejabat Gabenor Istanbul, sebanyak 8.5 tan dadah dan lebih 2.5 juta pil telah dirampas dalam operasi membanteras narkotik di seluruh bandar itu sepanjang tempoh Januari-Julai. – Agensi