Tok Batin, Uda Ngon melakukan kerja menoreh getah diladang getah yang terletak di Kampung Arong, Chini, Pahang. foto arkib MG

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Getah Malaysia (LGM) memperkenalkan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) melalui Konsep Koperasi Pekebun Dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan dan melibatkan mereka di peringkat penghasilan bahan getah tambah nilai, iaitu getah krip, melalui Pusat Pengumpulan Getah Krip (PPGK).

Dengan cara ini ’diskaun’ atau keuntungan peniaga getah dapat dipulangkan kepada mereka melalui harga belian yang lebih tinggi.

Menurutnya, slah satu pelesen yang berdaftar di bawah progam TARGET telah menjalani program inkubator dibawah pemantauan LGM di Stesen Penyelidikan LGM Sg
Sari, Kedah bermula 1 Jun lalu.

“Melalui bimbingan dan khidmat nasihat teknikal daripada LGM, pelesen tersebut berjaya menghasilkan getah krip yang berkualiti. Malah jualan getah krip berkualiti ini telah membawa pulangan yang baik kepada pelesen tersebut dan sebahagian pulangan itu dikongsikan kepada pekebun kecil getah yang telah membekalkan getah sekrap mereka sebagai insentif,” kata LGM.

Katanya, seramai 221 orang pekebun kecil getah di bawah pelesen yang menjalani program inkubator tersebut telah mula menerima insentif hasil dari jualan getah sejak 13 Jun 2023 sehingga 31 Julai 2023.

Sejumlah RM 4,500 telah diagihkan kepada 221 pekebun kecil pada 17 Ogos 2023, insentif dari hasil jualan getah dari pekebun kecil kepada pelesen tersebut.

“Dengan program inkubator sebegini, LGM berharap program TARGET ini menjadi model dan rujukan agensi, syarikat dan koperasi pembeli getah untuk penghasilan getah tambah nilai krip dan bagi mendapatkan pulangan pendapatan yang lebih tinggi.

“LGM selaku agensi penyelidikan akan sentiasa membangunkan industri getah menerusi dasar-dasar serta program-program penyelidikan dan pembangunan yang diperkenalkan bagi meningkatkan kelestarian industri getah secara
keseluruhannya,” tambah LGM. – MalaysiaGazette