KUALA LUMPUR – Suami kepada penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan memberi keterangan sebagai saksi dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang lebih dikenali sebagai ‘Datuk K’ itu tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pagi hari ini.
Setakat ini, seramai tujuh saksi bagi pihak Ahmad Zahid sudah memberikan keterangan dalam perbicaraan kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi itu sebelum ini.
Ketika ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu sedang membela diri 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram.
Prosiding akan bermula pada bila-bila masa di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Ahmad Zahid sudah tidak lagi mengendalikan kes berkenaan sebaliknya digantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan untuk menggantikan Raja Rozela sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan membuat pertimbangan yang teliti. – MalaysiaGazette