Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kepada warga polis yang menghidap penyakit kronik pada Majlis Penutupan MADANI Ride PDRM dan ISBC Sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 serta Bulan Kemerdekaan 2023 ketika di bu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Tindakan Perikatan Nasional (PN)  yang enggan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan Ke-66 yang sama jelas mereka mempunyai agenda dan kepentingan sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepatutnya logo dan tema berkenaan digunakan secara rasmi oleh semua kerajaan negeri meskipun terdapat perbezaan ideologi politik.

“Kita tidak mahu ada pihak tidak menghormati sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang akan kita raikan secara rasmi 31 Ogos ini oleh kerajaan.

“Agenda dan tema Hari Kebangsaan harus didakap oleh semua pihak. Kita mahu semua bangsa agama, dan latar belakang berbeza menghormati dan tidak mempolitikkan Hari Kebangsaan sama ada dari segi tema dan logonya supaya kebersamaan sebagai negara maju.

“Kita boleh berbeza pandangan, pegangan dan pendapat tapi ada akhlak yang harus kita akui sebagai panduan utama kita,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Madani Ride PDRM & ISBC Sempena Hari Peringatan Hari Polis Ke-216 dan Bulan Kemerdekaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Tegasnya, semua pihak perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyatakan perbezaan masing-masing meskipun ianya bertentangan dengan Kerajaan Pusat.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, empat negeri di bawah pentadbiran  perikatan itu mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza.

Tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN semalam, iaitu ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Semalam, Zahid menganggap tindakan berkenaan sebagai tidak munasabah kerana Parti Perikatan mempolitikkan Hari Kebangsaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast