BANGKOK – Bekas perdana menteri Thailand yang hidup dalam buangan Thaksin Shinawatra akan ditahan sejurus beliau tiba di negara itu pada Selasa.
Thaksin, 74, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang dengan menaiki jet peribadi pada 9 pagi (waktu tempatan).
Ketua Polis Negara Pol Jen Damrongsak Kittipraphat berkata Polis Imigresen akan menahan Thaksin dan memindahkannya ke Bahagian Polis Metropolitan 2 di mana rekod ketibaannya akan dicatat.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri akan diiringi ke Mahkamah Agung untuk disahkan seperti yang dikehendaki di bawah waran mahkamah.
Bekas perdana menteri itu akan diiringi ke Mahkamah Agung untuk disahkan sebagai dikehendaki di bawah waran mahkamah, katanya.
Damrongsak berkata mahkamah kemudiannya akan mengeluarkan waran tahanan dan menyerahkan bekas perdana menteri itu kepada Jabatan Pembetulan sebelum dipindahkan ke Penjara Reman Bangkok sementara menunggu prosiding undang-undang selanjutnya.
“Keselamatan akan ditingkatkan sepanjang prosedur ini,” katanya.
Penyokong Thaksin telah berkhemah di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada Isnin.
Media tempatan melaporkan sebilangan besar penyokong baju merah dari Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) dari beberapa wilayah akan pergi ke lapangan terbang untuk menyambut bekas perdana menteri pada Selasa.
Dalam pada itu, jurucakap Pejabat Kehakiman Sorawis Limparangsi berkata Thaksin dijangka tiba di Mahkamah Agung pada 10.30 pagi (waktu tempatan) dan kamar mahkamah akan dibuka hanya kepada plaintif dan saudara-mara defendan.
Beliau berkata semua petugas media perlu menunggu di luar mahkamah.
“Mahkamah Agung akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kes itu, termasuk butiran pertimbangan mahkamah terhadap kes itu,” katanya.
Sementara itu, Penjara Reman Bangkok pada Isnin mengumumkan akan menangguhkan lawatan banduan ke penjara itu esok bagi meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan tempat Thaksin dijangka dipindahkan.
Dijangka sebilangan besar penyokong Thaksin akan berkumpul di hadapan penjara yang terletak di Jalan Ngamwongwan di daerah Chatuchak.
Thaksin menerusi hantaran di X (Twitter) bahawa beliau akan kembali ke Thailand pada Selasa 9 pagi (waktu tempatan)
“Saya memohon kebenaran untuk kembali ke Thailand dan tinggal di bumi Thailand serta menghirup udara yang sama seperti saudara saya di Thailand,” tulisnya.
Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006, hidup dalam buangan sejak 2008 dan menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.
Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak daripada berdepan hukuman penjara.
Thaksin berdepan hukuman penjara 10 tahun atas sabitan kesalahannya oleh Bahagian Jenayah Mahkamah Agung dalam tiga kes berasingan. – BERNAMA