GEORGE TOWN – UMNO Bukit Bendera akan terus bersolidariti menyokong Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal menerajui parti.
Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berkata, ikrar sokongan tersebut dilakukan pihaknya berdasarkan keyakinan dengan kepimpinan Ahmad Zahid.
Kata beliau, Ahmad Zahid tidak sepatutnya dipersalahkan berikutan kekalahan besar dialami Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu.
“Budaya buruk mendesak pimpinan tertinggi parti meletak jawatan perlu dihentikan kerana ia tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan.
“Semua pihak perlu bertanggungjawab dan kembali membina semula parti serta tidak terpengaruh dengan ‘orang luar’ yang cuba menjatuhkan UMNO dan BN.
“Hari ini kerap kita dengar cakap ‘orang luar’..orang luar yang nak Zahid turun kerana mereka tahu kalau Zahid turun, mudah untuk mereka masuk UMNO serta mencapai matlamat utama iaitu membunuh UMNO,” katanya pada sidang media, di sini.
Sokongan itu dizahirkan selepas pelbagai desakan diterima Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sejak beberapa hari lalu, yang mahukan beliau berundur sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.
Mengulas lanjut, Ahmad meminta ahli UMNO supaya membuka mata melihat apakah ahli parti lawan meminta pimpinan mereka meletakkan jawatan sewaktu kekalahan parti mereka sebagaimana yang dilakukan UMNO ketika ini.
Selain itu, beliau turut membidas pihak lawan yang didakwa cuba campur tangan urusan dalaman UMNO serta menasihatkan mereka agar menjaga parti sendiri.
“Kita tidak boleh menuding jari kepada seorang sahaja.. Apakah dalam UMNO ini hanya presiden? dan apakah presiden seorang yang perlu bertanggungjawab semua?
“Jadi tak usahlah mahu meminta UMNO letak jawatan. Kami ada rumah, kami jaga rumah kami, hangpa jaga lah rumah hangpa.
“Malah bagi saya semua perlu harus bertanggungjawab bukan presiden sorang dan kami tahu presiden seorang yang bertanggungjawab,” katanya.
Keputusan PRN di enam negeri menyaksikan BN merekodkan kekalahan terburuk dalam sejarah apabila parti itu hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi. – MalaysiaGazette
Punya lama berminggu-minggu lepas PRN 6 NEGERI baru TIGA Bahagian UMNO sokong ZAHID… nape lama sangat sampai BERLANGAU orang TUA tu tunggu sokongan. Tarak dapat bincang atau Tarak dapat fulus…