ALOR GAJAH – Sebanyak 46 buah sekolah menengah di seluruh negara telah mengesahkan penyertaan Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan Tentera Masa Hadapan di bawah Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, angka itu diperolehi sejak tawaran dibuka pada 24 Mei lalu dan dijangka terus meningkat sehingga tarikh tutup 4 September ini.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, program tersebut merupakan usaha kementeriannya di bawah Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di Sekolah bagi menggalakkan penglibatan pelajar dalam penyelidikan pertahanan.
“Program ini bertujuan memperkenal dan melibatkan lebih ramai pelajar dalam sains dan teknologi khususnya dalam penyelidikan pertahanan.
“Di sini para pelajar berpeluang mengetengahkan idea inovasi, penemuan dan reka bentuk mengikut tema pertandingan selain memupuk kesedaran mengenai kepentingan aktiviti Cakna Sains, Teknlogi, Inovasi (ST&I),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Pogram Membudayakan R&D Pertahanan di Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Menerusi program itu Adly berkata, STRIDE juga akan mengadakan kunjungan ke sekolah-sekolah terpilih bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan aktiviti penyelidikan dan pameran berkaitan kemajuan teknologi pertahanan.
“Penglibatan pelajar dalam program sebegini juga seharusnya menjadi langkah awal yang dapat menyuntik semangat membentuk modal insan yang mampu berfikir secara kreatif dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette