Cheta Potpet (tengah) bersama barisan peguamnya hadir memfailkan saman terhadap Muhammad Iddin di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Usahawan kosmetik, Rozita Baharom memfailkan saman terhadap  pempengaruh media sosial, Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi berhubung kenyataan fitnah terhadapnya yang dimuat naik menerusi rakaman video di media sosial sejak Julai lalu.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini Rozita yang lebih dikenali sebagai Cheta Potpet, 36, menuntut injunksi ganti rugi teladan berjumlah RM16 juta terhadap defendan.

Peguam, K. Mahendran yang mewakili Rozita berkata, dalam tuntutan itu anak guamnya menuntut pempengaruh media sosial berkenaan memadamkan klip-klip video yang mengandungi ucapan fitnah terhadapnya yang dimuat naik di media sosial termasuk TikTok dan Instagram serta merta.

“Kita juga menuntut permohonan maaf daripada Muhammad Iddin secara terbuka di platform media sosial yang digunakan beliau untuk memfitnah anak guam saya.

“Kita juga telah mendapatkan injuksi terhadap defendan untuk memberhentikan tindakan memfitnah anak guam saya di mana-mana platform sehingga kes ini selesai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Susulan itu, Hakim Mahkamah Tinggi P. Anand menetapkan 4 September depan untuk pendengaran permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) antara Rozita dan Muhammad Iddin.

Rozita.

Sementara itu, Rozita mendakwa, saman itu dikemukan selepas pempengaruh media sosial itu enggan memohon maaf meskipun sudah diberi peluang sebelum ini.

“Tindakan lelaki itu memberi impak besar terhadap perniagaan serta keluarga saya. Jadi Alhamdulillah hari ini saya teruskan dengan tindakan saman,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan usahawan dan pempengaruh Iddin Syah mendakwa dia ditipu oleh rakan niaga yang juga seorang penyanyi sebanyak RM150,000.

Iddin Syah mendakwa Rozita gagal membuat bayaran semula jumlah yang telah dijanjikan bagi tujuan pembayaran sebuah perkhidmatan. – MalaysiaGazette