deklarasi setapak Kor Ming sekolah
Wong Siew Mun

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sepatutnya tidak mempolitikkan peruntukan kerajaan pusat kepada sekolah dengan memaparkan nama dan lambang parti politik pada replika cek.

Jurucakap MCA, Wong Siew Mun berkata, peruntukan tersebut disalurkan oleh kerajaan bukan daripada mana-mana parti politik.

Menurut beliau, tindakan itu dikhuatiri boleh memburukkan imej Kerajaan Perpaduan.

“Seorang menteri merupakan wakil rakyat. Selepas diberikan mandat, mereka haruslah berkhidmat untuk rakyat namun Kor Ming pula dilihat mempolitikkan peruntukan kerajaan untuk meraih manfaat politik bagi diri dan partinya.

“Langkah mementingkan diri sendiri seperti ini wajar dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Siew Mun mengulas mengenai gambar tular yang memaparkan Kor Ming menyerahkan peruntukan kepada beberapa sekolah di Perak di mana lambang DAP dan Pakatan Harapan (PH) jelas kelihatan pada replika cek yang disampaikan.

Beliau berpandangan, rakyat tidak seharusnya dikelirukan dengan lambang parti pada replika cek kerana peruntukan sebenarnya disalurkan oleh kerajaan melalui hasil cukai yang dikutip daripada rakyat.

Siew Mun yang juga Ketua Pemuda MCA Pahang mempersoalkan sama ada tindakan Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan itu selari dengan reformasi politik yang diuar-uarkan oleh PH.

“Kerajaan Perpaduan sepatutnya membuktikan komitmen mereka untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang membelenggu kehidupan rakyat dengan bekerja keras.

“Bukannya mencari publisiti murahan yang langsung tidak memanfaatkan rakyat,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau mengalu-alukan sekiranya PH dan DAP berhasrat untuk menyumbang dana kepada mana-mana sekolah di seluruh negara. – MalaysiaGazette