Arun Doraisamy ditemani peguamnya selepas dirakam keterangan di Bukit Aman semalam.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat seorang individu  bernama Arun Doraisamy atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dijalankan ke atas lelaki tempatan itu berhubung hantaran video yang mengandungi kenyataan penghinaan terhadap Perdana Menteri ke-10 itu melalui hantaran Facebook pada 18 Ogos lalu.

“Berikutan itu, pada 21 Ogos 2023 pemilik dan pengendali akaun Facebook bernama Arun Doraisamy telah dipanggiol ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman bagi merakam percakapan dan membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Tambah beliau, individu itu turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar, kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Kes ini masih di peringkat siasatan polis dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga boleh mengganggu proses siasatan atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” tegasnya.

Terdahulu menerusi status Facebooknya, Arun Doraisamy juga mengesahkan dia telah dipanggil oleh USJT Bukit Aman dan selesai dirakam keterangan pada Isnin jam 10 pagi hingga 11.15 pagi.

“Saya telah hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan bantu siasatan berhubung kenyataan saya terhadap Anwar Ibrahim.

“Sebanyak 30 soalan telah ditanya oleh pegawai penyiasat USJT dan saya membalas bahawa hanya akan menjawab di mahkamah nanti.

“Pada masa sama, pegawai penyiasat PDRM juga bersikap profesional dalam merakam keterangan daripada saya, selain menyediakan kemudahan kereta,” katanya.-MalaysiaGazette