Peniaga Baju Batik, Nizaruddin Nordin bercakap kepada media berkenaan harapan bagi pelan pemulihan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Penjawat awam dibenarkan untuk memakai pakaian batik pada waktu bekerja selain daripada hari Khamis.

Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri berdasarkan kesesuaian pakaian bekerja penjawat awam dengan realiti iklim tempatan dan keperluan kecekapan tenaga di premis Kerajaan.

Kata Nik Nazmi, beliau turut membentangkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Energy Efficiency and Conservation Act (EECA) dalam mesyuarat pada 2 Ogos lalu yang membawa kepada keputusan suhu bangunan di premis kerajaan diselaraskan kepada 24°C hingga 25°C sebagai langkah penjimatan tenaga elektrik.

“Keputusan yang dicapai telah mengambil kira iklim di negara ini dan juga komitmen Kerajaan untuk mencapai aspirasi pembebasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050 dengan mengurangkan jejak karbon daripada amalan penggunaan tenaga elektrik,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, perkembangan ini akan menyesuaikan cara pemakaian penjawat awam dengan perubahan suhu premis yang telah ditetapkan.

Tambah beliau, dalam masa yang sama keputusan berkenaan membuktikan sokongan kerajaan terhadap inisiatif kecekapan tenaga dan sekali gus merangsang pembangunan industri batik Malaysia.

Sementara itu Nik Nazmi berkata, perubahan tersebut turut dipanjangkan kepada semua Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast