Amirudin Shari

SHAH ALAM – Teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah semalam adalah berkaitan nilai eksport dan import yang dicatatkan dalam rekod ekonomi negeri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau mengakui memang ada sedikit anjakan daripada pelan ekonomi dalam negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, keseluruhan ekonomi Selangor kini beransur pulih dan lebih tertumpu kepada ekonomi perkhidmatan.

“Dari segi pelaburan masuk ke Selangor adalah baik, cuma yang disentuh oleh tuanku semalam adalah nilai eksport dan nilai import.

“Sebahagiannya ekonomi kita sudah beransur kepada ekonomi perkhidmatan, jadi sekarang ini sektor pembuatan kita telah berada pada satu tahap tertentu.

“Jika hendak bandingkan dengan Pulau Pinang, negeri itu lebih tertumpu kepada sektor elektronik yang semakin lama semakin meningkat sebab ekosistemnya begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam dan pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Turut hadir, 10 anggota Exco baharu kerajaan negeri.

Sebelum itu, Amirudin yang memulakan tugas sebagai Menteri Besar bagi penggal ke-15 hari ini dengan mengetik kad perakam waktu pukul 8.05 pagi.

Mengenai banjir, beliau menjelaskan, sebahagian besarnya kesan daripada projek pembinaan yang diselaraskan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri.

“Kalau kita lihat banjir kilat di Seksyen 13, ia sebenarnya ada kaitan dengan projek menaik taraf Sungai Damansara dan juga pembinaan stadium.

“Bagaimanapun, kita akan segerakan usaha untuk mengatasinya sebaik mungkin, diikuti kawasan lain dalam pemantauan pihak berkuasa tempatan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette