Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai bukan sahaja dermawan tetapi komited memastikan projek tertunda seperti projek pembinaan masjid dapat diteruskan.

Kebanyakan kerja-kerja amal dilakukan melalui Yayasan Akalbudi yang diasaskan olehnya sendiri sebelum memegang jawatan penting dalam politik.

Untuk makluman, antara punca mengapa projek pembinaan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak terhenti selepas akaun Yayasan Akalbudi disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut saksi pembelaan ke-9, Ramli Ghani yang merupakan pengurus bagi projek masjid berkenaan, walaupun setelah akaun yayasan itu dibeku, Ahmad Zahid akan mencari sumber lain bagi pembinaan masjid tersebut.

Katanya, semua proses membina Masjid Tuminah Hamidi itu telah melalui proses perjanjian pembangunan sah serta mendapat perakuan guaman.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, saksi itu berkata, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk hadir ke tapak projek dua bulan sekali dan mesyuarat formal lima atau enam kali.

“Di situ kita adakan sesi perbincangan mengenai kelulusan bangunan, cat dan karpet akan dirujuk kepadanya,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini pada prosiding bela diri Ahmad Zahid terhadap 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, Ramli mendakwa dirinya tidak tahu sumber kewangan lain dimaksudkan oleh Ahmad Zahid kepadanya.

Sebelum ini, Ramli telah mendedahkan projek pembinaan masjid tergendala sekitar 2018  kerana kontraktor tidak menerima sebarang bayaran untuk tempoh lebih tiga bulan.

Ramli yang bekerja di bawah syarikat Noble Energy Construction Sdn Bhd selaku kontraktor pembinaan masjid berkenaan berkata, kerja pembinaan diteruskan pada awal 2019 iaitu empat atau lima bulan selepas itu apabila pembayaran mendapat pelepasan daripada Yayasan Al-Falah (milik keluarga Ahmad Zahid Hamidi).

Difahamkan kos pembinaan masjid yang menelan belanja RM43.7 juta itu menerima sumber kewangan utama daripada Yayasan Akalbudi manakala Yayasan Al-Falah dilantik sebagai pemaju. -MalaysiaGazette