KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) baru-baru ini menyampaikan Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB kepada 25 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2022 (SPM 2022) untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Kesemua 25 penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB akan menjalani program A-Level selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM (KYUEM).
Setelah berjaya menamatkan A-Level, mereka boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang seperti kewangan, undang-undang, matematik, sains komputer, dan kejuruteraan.
Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB, merupakan sebahagian daripada biasiswa paling berprestij di Malaysia selama lebih daripada dua dekad.
Berucap pada majlis penyampaian surat tawaran tersebut, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn yang menyampaikan anugerah itu menzahirkan ucapan tahniah kepada penerima, ibu bapa,
penjaga, serta guru-guru dan pihak sekolah yang terlibat dalam membentuk dan memupuk bakat akademik dan intelek pelajar.
“Pendidikan adalah salah satu fokus utama PNB dalam menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami selama ini kerana percaya penting untuk memperkasakan generasi masa depan, selaras dengan
komitmen kami untuk mencipta nilai mampan jangka panjang.
“Malah, kesungguhan PNB untuk memartabatkan pendidikan dengan pemberian biasiswa diperakui di bawah komitmen No. 7 daripada 10 komitmen ESG PNB – Mengimbangi Keuntungan dan Pelaburan Sosial – seperti
yang dinyatakan di bawah Rangka Kerja Kelestarian PNB.
“Selain memperkukuh modal insan sendiri, kami beraspirasi untuk menyumbang kepada pembangunan bakat negara, menggambarkan komitmen kami terhadap pertumbuhan dan kemakmuran negara secara keseluruhan. Program-program kami untuk graduan muda dan mahasiswa bertujuan melengkapkan pemimpin masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran penting sebagai persiapan menjadi tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan,”
kata Ahmad Zulqarnain.
Sejak tahun 1996, lebih daripada 5,500 pelajar telah mendapat manfaat daripada sumbangan PNB yang berjumlah RM392.9 juta, dan sejak pelancaran Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB
ini, organisasi ini telah menganugerahkan biasiswa kepada 482 anak muda Malaysia yang layak. – MalaysiaGazette