Pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel bersama peguamnya M. Pravin berjalan keluar dari mahkamah selepas keputusan representasi dikemukakannya bagi menggugurkan tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi media sosial yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Kelab komedi Crackhouse tidak berhasrat meneruskan proses undang-undang untuk mencabar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa telah menarik balik lesen perniagaan dan melarang dua pemiliknya mendaftar sebarang perniagaan di ibu negara, seumur hidup.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan Jawatankuasa Pelesenan DBKL tidak pernah mengeluarkan perintah yang menyenarai hitam kedua-duanya daripada menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur.

Selepas itu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh membatalkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh dua pemilik kelab itu Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R. Santhiram, tanpa memutuskan perintah terhadap sebarang kos.

Menurut peguam mewakili dua pemilik tersebut, M Pravin, DBKL hanya menarik balik lesen kelab komedi berkenaan bukan menyenarai hitam kedua-dua pemohon daripada mendaftarkan perniagaan mereka di sini.

“Kami menarik balik semakan kehakiman itu tanpa memohon perintah terhadap kos,” katanya hari ini.

Peguam mewakili DBKL, Khalisa Badrul Amini yang mewakili DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah selaku responden, mengesahkan perkara tersebut.

Sepatutnya hari ini mahkamah dijadualkan mendengar merit permohonan itu hari ini selepas kedua-dua pemohon mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman pada 23 Mei lalu.

Dalam semakan kehakiman, kedua-duanya menamakan DBKL, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden.

Pemohon turut menggugurkan tiga responden yang sebelum ini dinamakan dalam permohonan tersebut iaitu bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia.

Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 24 November 2022, mereka memohon perisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu adalah menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette