GOMBAK – Lapan buah kenderaan remuk dan rosak teruk selepas dilanggar sebuah treler panjang dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 14, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh arah Jalan Rawang hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 11 pagi itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu, sebuah van jenis Nissan Vannette, sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan empat buah kenderaan lain.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan pegawai penyiasat polis di lokasi kejadian mendapati semasa sebuah treler panjang jenis Volvo dengan muatan steel bar sedang menuju dari arah Kuala Lumpur menghala Rawang.
“Apabila tiba di tempat kejadian yang merupakan jalan mendaki dan berbukit, treler tersebut tiba-tiba telah mengalami kerosakan mekanikal dan mula mengundur ke belakang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Noor Ariffin, akibatnya treler itu telah melanggar beberapa buah kenderaan di belakangnya di kedua-dua lorong jalan.
Berikutan insiden itu, pemandu treler itu telah mengalami kecederaan patah tangan manakala lain-lain mangsa terselamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Treler rosak itu berada dalam keadaan melintang jalan selepas melanggar lapan kenderaan dan telah menghalang laluan sehingga menyebabkan jalan mengalami kesesakan yang luar biasa.
“Bagaimanapun, pada pukul 12.45 tengahari kesemua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu termasuk treler rosak itu telah berjaya dialihkan oleh pihak berkuasa dan kesesakan teruk berjaya disurai,” ujarnya.
Kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017- 664 5812 atau 03- 612 62222.
Terdahulu sebuah rakaman video yang memaparkan insiden kemalangan dan kerosakan lapan kenderaan dilanggar treler rosak berdurasi 30 saat tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.- MalaysiaGazette